Kongsi Info | Siklon Tropika
Siklon Tropika Siklon tropika adalah merupakan ribut ganas yang berputar dan berdiameter beberapa ratus kilometer, yang terbentuk di kawas...
Siklon Tropika
Siklon tropika adalah merupakan ribut ganas yang berputar dan berdiameter beberapa ratus kilometer, yang terbentuk di kawasan perairan tropika. Apabila dilihat melalui satelit, ia kelihatan seperti satu sistem gegelung yang ketat dan berkuasa dengan kelompok awannya melingkar keluar. Bagi siklon tropika yang matang, wujud satu kawasan di pusatnya yang udaranya secara relatifnya tenang dengan hanya terdapat sedikit awan. Kawasan ini dikenali sebagai mata bagi siklon tropika.
Siklon Tropika di kelaskan seperti berikut Lekukan Tropika - Satu sistem yang terdiri daripada awan dan ribut petir yang berputar dengan kelajuan angin maksimum 63 kmpj atau kurang Ribut Tropika - Satu sistem ribut petir kuat yang berputar dengan kelajuan angin maksimum antara 64 - 117 kmpj. Taufan - Satu sistem cuaca tropika hebat yang berputar dengan kelajuan angin maksimum 118 kmpj atau lebih.
Bagaimana Siklon Tropika Terbentuk?
Siklon tropika terbentuk di kawasan lautan yang suhu permukaannya 26o C atau lebih. Di rantau Asia, siklon tropika selalunya dikenali sebagai taufan dan biasanya terjadi semasa musim panas Hemisfera Utara yang mana suhu di Lautan Pasifik adalah panas dan sesuai untuk aktiviti perolakan. Sistem tekanan rendah yang terbentuk di kawasan lautan tropika yang panas akan bergerak ke arah barat, berkembang daripada lekukan tropika kepada ribut tropika dan akhirnya menjadi taufan yang matang.
Perkembangan Lekukan Tropika Kepada Taufan Bergantung Kepada Tiga Keadaan:
Laut Panas Kelengasan Corak angin berhampiran permukaan laut yang melingkarkan udara ke arah dalam.
Semasa
pembentukan, siklon mengumpulkan haba dan tenaga melalui hubungan dengan air laut yang panas. Haba dan kelengasan yang di hasilkan oleh penyejatan permukaan laut memberi tenaga kepadanya seolah-olah enjin haba raksasa. Pembentukan kelompok-kelompok ribut petir membolehkan udara menjadi lebih panas lagi dan naik ke atas dalam atmosfera.
Mata siklon yang berdiameter antara 30 - 100 kilometer adalah merupakan pusat tekanan rendah ribut tropika tersebut. Aktiviti yang paling hebat (atau ganas) berlaku di kawasan sekitar mata yang juga dipanggil dinding mata. Di sini, udara berputar ke arah atas dan luar dengan kelajuan yang meningkat. Sebahagian daripada udara bergerak ke arah dalam dan tenggelam ke dalam mata, membentuk kawasan bebas awan.
Bilakah Taufan Biasanya Berlaku?
Pada kebiasaannya, taufan mula muncul di sebelah barat Pasifik Utara pada awal bulan Mei. Bilangannya bertambah dan mencapai maksima disekitar bulan September. Kebanyakan taufan terbentuk di kawasan latitud 5oU dan 20oU dan longitud 130oT dan 170oT. Laluan biasa bagi taufan adalah bergerak menghala ke arah barat merentasi Filipina dan seterusnya membeluk ke arah timur laut apabila menuju daratan Asia.
Bencana Berkaitan Taufan
Taufan merupakan salah satu bencana alam yang amat dahsyat dan membinasakan. Laluannya yang jauh dan hayatnya yang panjang menjadikan kehadirannya amat mengerikan.
Beberapa bahaya berkaitan taufan ialah:
Luruan Ribut - Luruan ribut ialah suatu kubah air yang besar, lebarnya antara 50 hingga 100 batu yang melanda pinggir pantai berhampiran tempat taufan bertemu daratan. Taufan yang kuat dan perairan yang cetek akan menghasilkan luruan yang lebih tinggi. Luruan ribut mengancam nyawa dan harta benda terutamanya di kawasan sepanjang pantai.
Hujan Lebat - Hujan mencurah-curah dan menyeluruh, boleh menyebabkan banjir yang memusnahkan.
Angin Kencang - Daya angin taufan boleh memusnahkan bangunan dan struktur binaan yang tidak kukuh. Serpihan runtuhan akan berterbangan dalam taufan. Langkisau kuat boleh menumbangkan pokok dan memutuskan talian elektrik yang boleh menyebabkan gangguan besar.
Nasihat dan Amaran Cuaca
Perkhidmatan Kajicuaca Malaysia sentiasa berwaspada terhadap cuaca di sepanjang tahun. Semasa musim taufan, langkah memonitor ditingkatkan di mana lokasi dan keadaan semua taufan di barat Pasifik Utara diteliti jejaknya. Maklumat ini juga menjadi pelengkap kepada maklumat cuaca penerbangan yang diberikan kepada sektor penerbangan dan perkapalan.
Berikut ialah beberapa kategori berbeza tentang kenyataan, pandangan, nasihat dan amaran cuaca yang di keluarkan kepada media-massa :
Nasihat Hujan Lebat - dikeluarkan apabila ada kemungkinan hujan lebat akan berlaku dalam masa 24 hingga 48 jam. Amaran Hujan Lebat - dikeluarkan apabila maklumat terkini menunjukkan ketentuan hujan lebat akan berlaku Nasihat Angin Kencang dan Laut Bergelora - dikeluarkan apabila ada kemungkinan angin kencang dan laut bergelora di perairan Malaysia akan berlaku dalam masa 24 hingga 48 jam. Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora - dikeluarkan apabila maklumat terkini menunjukkan ketentuan angin kencang dan laut bergelora akan berlaku.
Perkara Penting Yang Perlu Diberikan Perhatian
-Dengar siaran radio dan televisyen yang rutin menyiarkan buletin cuaca dan pengumuman lain.
-Ambil langkah-langkah sesuai dalam menghindari sebarang kemusnahan dan kehilangan jiwa akibat banjir jika mendapati ribut tropika akan melanda.
-Berwaspada dengan kejadian gelinciran tanah sekiranya memandu dalam hujan yang mencurah-curah di kawasan tanah tinggi.
-Jika ribut tropika dijangka melanda kawasan anda, selamatkan semua harta benda yang boleh diterbangkan angin kencang.
-Hindari keluar ke laut apabila ribut tropika atau taufan menghampiri kawasan anda.
-Bersedia untuk berpindah jika anda tinggal di kawasan pantai atau berhampiran sungai.